...thoughts of 'Kami'

++ The Chronicles ++

Thursday, February 17, 2005

ia akan tiba jua...

seorang kawan Jasinian aku tulis artikel ni..just nk share..banyak lupa & leka aku lately ni...mudah-mudahan boleh jadi peringatan utk kite yg selalu lupa dan lalai ni....insya Allah...

Mengingati mati, sebelum kita terlewat…

Apabila ia akan tiba, ia akan tiba. Ia akan tiba tanpa sedetik terlewat mahupun sedetik terawal. Ia akan tiba, maka manusia itu akan terbeza samada meninggal dunia atau mampus kemudiannya mereput menjadi tanah. Perginya akan menyebabkan alam ini terkesan dan menangis ataupun perginya akan menjimatkan pembaziran makanan dan oksigen. Kehidupan manusia di muka bumi ini bukan untuk membazirkan makanan atau menghabiskan oksigen, tapi punya matlamat yang besar.

Manusia dijadikan oleh Allah swt bukan secara sia-sia mahupun untuk membuang masa. Maha suci Allah swt daripada bersifat sebegini. Manusia dijadikan sebagai hamba untuk mengabdikan diri kepada Allah swt. Perhambaan ini yang bukan bersifat pemalas, penuh masa lapang atau tidak bermatlamat. Perhambaan ini adalah sepenuh raga, tenaga, masa, dan sepanjang waktu. Malahan seluruh alam, termasuk segala macam binatang pun mengabdikan diri kepada Allah. Tapi malang, terdapat juga manusia suka memperbodohkan diri kerana lebih selesa bertuhankan manusia lain dan hawa nafsu.

Apabila manusia terlupa dan sengaja melupakan matlamat besar ini, maka tiadalah kehidupan itu kecuali bermain-main dan melekakan. Bermain-main untuk menghabiskan masa umur yang terasa begitu panjang, padahal umurnya ciput dan pendek. Tapi memandangkan kehidupan ini tiada matlamat, maka terasa masa umurnya begitu panjang. Adakah manusia fikirkan nyawa seperti iblis? Iblis yang meminta umurnya dipanjangkan sehingga hari kiamat. Tapi kalau manusia dapat umur sepanjang ini pun, apalah gunanya sekiranya kehidupan semacam ini penuh dengan main-main dan membazir masa. Iblis pun tidak membazir masa. Iblis akan menggunakan setiap detik masa yang ada padanya untuk menyesatkan anak Adam. Kehidupan Iblis pun bermatlamat, tapi kehidupan manusia ini pula tidak bermatlamat. Kehidupan yang membazir masa sementara menunggu masa untuk mampus dan mereput untuk menjadi tanah.

Bilakah saat kita pula akan tiba? Adakah episod kehidupan kita akan menjadi suatu kisah perjuangan yang bercita-cita besar dan bermatlamat agung demi untuk Islam atau sekadar kisah pembaziran makanan dan oksigen di muka bumi? Kehidupan ini hanya sekali, kerana kita bukan penganut Hindu yang percaya kepada kelahiran semula. Maka gunalah ia sebaik-baiknya. Gunakan setiap detik waktu yang berlalu supaya ia menjadi saksi di akhirat nanti sebagai bukti perhambaan kita sebelum terlewat. Janganlah kerana kelewatan ini akan menjadi laknat dan sesalan menggila di akhirat nanti. Apabila ia akan tiba, ia akan tiba. Ia akan tiba tanpa sedetik terlewat mahupun sedetik terawal…
-----------------------------------
Memandang pemandangan yang indah, hati ingat kepada Allah yang menjadikannya.
Makan makanan yang enak, hati ingat kepada Allah yang memberikan rezeki.
Mendapat kesakitan, hati ingat kepada Allah yang ingin menguji kesabaran hambanya...